SEORANG penghantar makanan (rider) dijatuhi hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Georgetown hari ini selepas didapati bersalah mencabul kehormatan seorang wanita warga Indonesia Rabu lalu.
Tertuduh, Muhammad Falihin Abdul Talib, 28, sebelum itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abd. Wahab, lapor Kosmo.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Falihin didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan cara meraba payudara seorang wanita warga Indonesia dengan niat untuk mencabul kehormatannya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Bukit Gambir di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada 20 April lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nazri Abdul Rahim, manakala tertuduh diwakili peguam S. Bommy.
Mengikut fakta kes, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal berhampiran lampu isyarat Jalan Bukit Gambir dari arah Sungai Nibong dihampiri seorang lelaki yang menaiki motosikal dari arah belakang lalu menghimpitnya di sebelah kanan.
Lelaki terbabit kemudiannya terus meramas payudara kanannya menyebabkan mangsa terkejut lalu memberhentikan motosikalnya.
Sumber: Kosmo