SEORANG warga emas maut dalam keadaan menyayat hati apabila dipenggal anak lelakinya sendiri di rumah mereka di Kampung Baru Pasir Penambang, petang semalam.
Kepala wanita berusia 56 tahun itu ditemukan dalam rumah berkenaan selepas dipenggal suspek dengan parang, lapor Kosmo.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan mengenai seorang wanita dicederakan anak berusia 28 tahun itu pada pukul 5.45 petang.
Katanya, hasil siasatan polis bersama Unit Forensik kemudian mendapati mangsa berada di ruang tamu rumah dengan kesan darah.
“Kejadian disedari apabila salah seorang anak mangsa gagal menghubunginya dan segera pergi ke rumah berkenaan.
“Setibanya di lokasi, anak mangsa melihat keadaan rumah berlumuran darah dan suspek melarikan diri di belukar belakang kediaman itu,” katanya hari ini.
Jelas Ramli, pihaknya dengan bantuan penduduk kampung berjaya menahan suspek yang bersembunyi dalam semak tersebut
“Kita turut menemukan parang yang disyaki digunakan untuk memenggal mangsa dalam tandas rumah itu.
“Suspek yang juga penganggur dipercayai menetap bersama ibu dan bapanya manakala adik beradik lain menyewa di kawasan berhampiran,” ujarnya.
Menerusi satu laporan lain, suspek dikatakan pernah dipenjara kerana melakukan ugutan jenayah kepada mangsa itu sebelum ini.
Siasatan mendapati suspek berusia 28 tahun itu melakukan kesalahan berkenaan pada 2014 dengan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Namun, suspek yang juga anak ketiga daripada tujuh beradik sudah menjalani hukuman atas kesalahan itu.
“Berhubung penglibatan suspek dalam penyalahgunaan dadah, kita percaya antara tiga hingga empat tahun,” kata Ramli kepada Kosmo.
Sumber: Kosmo