Pengeluaran KWSP Secara Bulanan Boleh Dilaksanakan – PM

Kerajaan tidak menghalang usaha Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melaksanakan pengeluaran secara berkala atau bulanan bagi pencarum yang mencecah usia persaraan 55 tahun sebagai mandatori.

Sokongan itu disuarakan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas hadir merasmikan International Social Wellbeing Conference (ISWC) di sebuah hotel hari ini.

Menurut Anwar, cadangan perlaksanaan pengeluaran tersebut kini diperingkat akhir dan ia bergantung kepada keupayaan KWSP selepas ini.

“Itu (cadangan pengeluaran) masih diperingkat akhir dan saya tidak keberatan dan bergantung kepada keupayaan KWSP.

“Namun seperti yang dikatakan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) terdapat beberapa kekangan terutamanya ada kalangan pencarum yang mempunyai simpanan yang kecil,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pihaknya sedia mempertimbangkan cadangan pengeluaran secara berkala atau bulanan bagi pencarum yang mencecah usia persaraan 55 tahun sebagai mandatori untuk ahli baharu.

Menurut beliau, ketika ini, pengeluaran secara berkala atau bulanan itu dilakukan secara sukarela dan ia dilihat mampu memberikan peluang kepada ahlinya menguruskan wang persaraan dengan lebih baik.

Jelasnya, pengeluaran berkala atau secara bulanan itu juga memberi peluang kepada ahlinya terus menikmati dividen tahunan dengan baki simpanan yang ada.

Terdahulu, pada majlis tersebut Anwar turut melancarkan versi baharu Aplikasi i-Akaun KWSP, yang menggabungkan ciri-ciri inovatif dan interaktif untuk meningkatkan pengalaman pengguna.

Platform yang dinaik taraf ini menyediakan pelbagai fungsi bagi ahli melaksanakan transaksi berkaitan KWSP, termasuk kalkulator simpanan persaraan baharu bagi membantu ahli menilai kecukupan simpanan KWSP apabila bersara kelak.

Sumber : Kosmo