Pengasas juga mudir sebuah pusat tahfiz, di sini, didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di Melaka, hari ini, atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan seks luar tabii terhadap tiga pelajarnya, sejak tahun lalu.
Memetik laporan Harian Metro, tertuduh, Muhammad Firdaous Abdul Rashif, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen 3 dan Mahkamah Sesyen 2 yang didengar Hakim Darmafikri Abu Adam dan Mohd Sabri Ismail.
Berdasarkan tiga kertas pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga pelajarnya masing-masing berusia 13, 14 dan 15 tahun.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam bilik di rumah guru Pusat Tahfiz Al-Islah Tanjung Minyak pada 20 Julai 2022 dan Mac lalu.
Bagi dua pertuduhan lagi, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan aturan tabii terhadap dua mangsa sama berusia 13 dan 14 tahun, di tempat sama pada Mac lalu. Dia dituduh mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin, Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal.
Peguam Fahmy Sulaiman merayu jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya yang juga warga Singapura menanggung dua isteri dan enam anak berusia setahun setengah sehingga 13 tahun.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Darmafikri membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi dua pertuduhan di hadapannya biarpun dibantah Aliff Asraf.
Mohd Sabri bagaimanapun tidak membenarkan jaminan bagi satu pertuduhan mengikut Seksyen 14(b) AKSTK 2017 selepas bersetuju hujahan Muhammad Nazrin bahawa tertuduh pernah didakwa pada 2019 atas kesalahan sama namun dia dilepas tanpa dibebaskan.
Katanya, jelas bahawa apabila tertuduh dilepaskan dengan jaminan terdapat kecenderungan mengulangi kesalahan apabila didakwa atas pertuduhan sama tahun ini.
Mahkamah menetapkan kes untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 19 Jun depan.
Harian Metro sebelum ini melaporkan kedua-dua suspek iaitu pemilik atau mudir pusat bimbingan al-Quran berusia 40 tahun dan adik lelakinya yang juga warden asrama berusia 36 tahun ditahan di pusat tahfiz itu di Tanjung Minyak antara 1 hingga 1.30 tengah hari.
Penahanan itu susulan polis menerima enam laporan dibuat ibu bapa enam pelajar terbabit berusia antara 13 hingga 15 tahun di Balai Polis Batang Tiga.
Sumber : Harian Metro