SHAH ALAM: Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui, dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan melukakan perasaan orang Islam dalam isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah.
Selain itu, tiga pengarah syarikat pembekal stoking, Xin Jian Chang Sdn Bhd, juga dibebaskan selepas pendakwaan tidak mahu meneruskan tuduhan.
Pada 17 Mei lalu, dua syarikat dan lima individu ini mengemukakan permohonan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan kes ini. Pada 26 Mac, Kee Kan dan Siew Mui mengaku tidak bersalah atas tuduhan melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking yang tertera kalimah Allah di KK Supermart & Superstore di Bandar Sunway pada 13 Mac lalu.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda. Kee Kan juga mewakili syarikatnya KK Supermart & Superstore didakwa atas tuduhan yang sama.
Syarikat pembekal Xin Jian Chang Sdn Bhd dan tiga pengarahnya, Soh Chin Huat, isterinya Goh Li Huay, dan anak mereka Soh Hui San, didakwa atas tuduhan bersubahat melukakan perasaan orang Islam dalam isu stoking pada masa dan tempat yang sama. Mereka didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 298 dengan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda.