Penganjur Hoorey X Fest Raya Mengaku Tidak Bersalah

Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan menipu berhubung penganjuran festival beli-belah Hoorey X Fest Raya, dua bulan lalu.

Muhammad Alif Hakim Jamal, 23, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menipu Siti Wardina Basir dengan memperdayakan mangsa dalam urusan penyewaan tapak Hoorey X Fest Raya di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM1,500.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di WTC pada jam 2.34 pagi pada 19 April lalu, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebat serta boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Noraisyah Mohamed Zanyuin, menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Zamri Idrus memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin dengan alasan anak guamnya menghadapi penyakit buah pinggang selain perlu melakukan dialisis tiga seminggu dengan kos mencecah RM1,050.

Illi Marisqa kemudian membenarkan Muhammad Alif Hakim diikat jamin sebanyak RM 3,000 dengan seorang penjamin.

Beliau menetapkan sebutan kes pada 27 Julai ini bagi serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan karnival jualan sempena Aidilfitri itu yang sepatutnya bermula 18 April lalu di WTC dibatalkan di saat akhir akibat penaja utama menarik diri.

Sumber : Harian Metro