SEORANG lelaki cedera selepas kereta yang dipandunya dipercayai terbabas sebelum melambung dan terbang ke atas bumbung tingkat bawah sebuah rumah kedai di Kampung Padang Bongor, Binjai, awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu berlaku semasa penduduk di kampung berkenaan sedang menyiapkan juadah untuk bersahur sebelum terdengar dentuman yang kuat dari arah jalan raya.
Seorang penduduk, Yani Razak,40, berkata, dia bergegas keluar ke jalan raya untuk melihat kejadian itu sebelum terkejut melihat sebuah kereta jenis Proton Putra berada di atas bumbung tingkat bawah sebuah rumah kedai milik tetangganya.
Menurutnya, kereta itu dilihat seperti jatuh dari langit apabila ia berada dalam keadaan terjunam.
“Saya juga melihat pemandu kereta terbabit yang berusia dalam lingkungan 30-an sudah berada di luar kereta selepas dibantu oleh beberapa penduduk kampung.
“Melihat kepada keadaan kereta yang seolah-olah terbang ke atas bumbung itu, saya mengesyaki kereta tersebut dipandu laju sebelum hilang kawalan di kawasan selekoh berhampiran rumah terbabit,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di lokasi kejadian hari ini.
Yani memberitahu, dia melihat mangsa cedera pada bahagian kaki kiri sebelum lelaki itu dibawa ke hospital dengan ambulans.
Katanya, laluan di kawasan itu sudah beberapa kali berlaku kemalangan termasuk kedainya juga sudah dua kali dirempuh kereta.
Difahamkan, pemandu kereta dan penyewa rumah yang terlibat dalam kejadian itu masih belum membuat laporan polis berhubung nahas terbabit.
Sumber gambar – Kosmo | Sumber laporan – Utusan Malaysia