KERANA bosan dan jemu melihat senario politik semasa, penduduk di Tenglu, Mersing bertindak menaikkan logo ‘katak’ sebagai tanda protes terhadap ahli politik.
Mereka juga mendakwa kini keliru dan buntu melihat percaturan politik yang membuatkan masyarakat terhimpit dalam memikirkan soal hala tuju, lapor Astro AWANI.
Apa yang jelas kelihatan, gelanggang politik ketika ini lebih menumpukan kepentingan peribadi berbanding tugas hakiki seorang ahli politik yang sepatutnya mengangkat masalah yang didepani rakyat.
Menurut Mohd Zam Abdul Rahman, perubahan sukar untuk berlaku sekiranya sistem sedia ada tidak diperbaiki.
“Politik ini kalau sesiapa pun di atas (memerintah) kalau masih ada budaya korup, kroni, pilih kasih atau secara kasarnya ‘kaki jilat’ maka hala tuju rakyat memang tak akan jelas.
“Selagi ada budaya kotor usaha nak capai kejayaan untuk rakyat seperti yang dijanjikan sendiri oleh wakil rakyat memang akan jadi susah,” katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.
Sementara itu, Mohd Shawal Noordin menyatakan, setiap kali berlakunya musim pilihan raya, penduduk seolah-olah sudah boleh menjangka permainan politik yang bakal tercetus.
Ini termasuk sikap ahli politik yang secara tiba-tiba menjelma menunjukkan ‘batang hidung’ kepada penduduk demi meraih undi.
“Kalau nak ikutkan apa yang dia janji dulu berapa peratus sahaja yang berjaya dibuat?
“Sebelum dapat pangkat memang macam-macam mereka (ahli politik) janji tapi bila menang terus hilang.
“Semasa pilihan raya pandai pula jumpa pengundi tapi bila giliran kita nak mohon sesuatu apa pun tak dapat.
“Kami rakyat kita mengundi, jadi fokus dulu bantu apa yang rakyat nak baru fikir untuk diri sendiri,” katanya kepada Astro AWANI.
Kerakusan berpolitik juga tidak kurangnya membawa kesan perpecahan apabila niat sebenar telah lari dari landasan asal.
Itu antara luahan yang disuarakan Lim Poo Kher @ Prakash Lim selain menyifatkan ahli politik ibarat ‘lampin pakai buang’ yang perlu kerap ditukar.
“Ahli politik dah macam lampin buang kalau boleh kita kena selalu tukar sebab lagi lama pakai jadi lagi busuk.
“Sama juga dengan ahli politik, bila sampai masa perkhidmatan pun makin kurang.
“Dah celaru sangat semua sibuk nak hentam sana sini, hubungan silaturahim pun jadi renggang saya harap perkara ini berakhir secepat mungkin dan kita lupakan politik selepas PRN,” tambahnya.
Baru-baru ini, situasi politik kelihatan masih bergolak khususnya keadaan politik di Mersing dengan pelbagai kontroversi yang dicetuskan.
Tempoh beberapa hari berkempen, setiap jentera parti kelihatan rancak dengan usaha untuk memancing undi dalam kalangan penduduk sebelum menantikan hari penentunya pada 12 Mac.
Sumber: Astro AWANI