Penduduk Tanjung Kling dihantui ketukan misteri, penduduk mula lakukan rondaan malam

JAWATANKUASA Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK)  di beberapa kampung di Tanjung Kling, Melaka kini melakukan rondaan malam setiap hari susulan kejadian misteri ketukan yang menghantui penduduk.

Sidang Kampung Tanjung Kling ,Aziz Japar berkata, rondaan dilakukan bertujuan menjaga keselamatan dan keharmonian penduduk, lapor Harian Metro.

“Kumpulan rondaan ini membabitkan 20 hingga 30 individu termasuk golongan pemuda yang segera memeriksa ke rumah penduduk sebaik menerima aduan.

“Kumpulan ini mampu sampai dalam beberapa minit saja ke rumah penduduk yang mengalami gangguan dan kami berhubung menggunakan aplikasi WhatsApp,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Aziz, dia berpendapat kejadian itu mempunyai kaitan dengan unsur mistik.

Jelasnya lagi, sebanyak 20 kediaman penduduk termasuk di Kampung Balik Bukit, Tanjung Kling, Lereh dan Simpang Tanjung diganggu ketukan misteri itu setakat semalam.

“Selain mengadakan rondaan saya juga ada membuat aduan di Balai Polis Tanjung Kling berhubung kejadian dan pihak polis turut menghantar unit peronda melakukan pemantauan.

“Nasihat saya kepada penduduk agar berhati-hati dan mengadakan bacaan ayat suci al-Quran di kediaman masing-masing sebagai satu usaha memohon perlindungan Allah daripada gangguan mistik,” katanya.

Dia turut mengingatkan penduduk tidak mengambil tindakan sendiri sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa jika berjaya menangkap individu bertanggungjawab melakukan gangguan ketukan itu.

Sumber: Harian Metro