Penarafan kredit kedaulatan malaysia “Stabil”

Ada Apa Dengan Melly..? PROM NITE

Badan penilaian Moody’s Ratings telah mengekalkan penarafan kredit kedaulatan Malaysia pada “A3” dengan prospek “stabil”. Menurut Kementerian Kewangan, penarafan ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi serta melaksanakan reformasi fiskal meskipun dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Dato Seri Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa pengiktirafan Moody’s menunjukkan komitmen Kerajaan MADANI untuk melaksanakan perubahan struktur berdasarkan dasar yang jelas dan tadbir urus tinggi. Kerajaan akan terus melaksanakan reformasi ekonomi dan memacu pertumbuhan serantau demi manfaat rakyat.

Tahun ini, Kerajaan MADANI akan memperkukuh reformasi fiskal dan ekonomi seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2025, dengan menumpukan pelaburan berkualiti, mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, serta mempercepat pembangunan infrastruktur bagi menyokong kepelbagaian ekonomi. Malaysia juga akan memanfaatkan kepengerusian ASEAN 2025 untuk memimpin kerjasama ekonomi serantau.

Moody’s menyatakan Malaysia akan menjadi ekonomi A-rated yang paling pesat berkembang dalam dua tahun akan datang, dengan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh. Faktor kekuatan termasuk struktur ekonomi yang pelbagai, daya saing, kestabilan harga, pasaran modal domestik yang mendalam, dan sistem kewangan yang canggih.

Moody’s turut mengiktiraf sokongan politik yang kukuh, membolehkan Kerajaan melaksanakan reformasi struktur dan institusi, termasuk Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023. Kerajaan komited untuk meningkatkan kewangan awam melalui usaha menambah hasil dan rasionalisasi subsidi.

Dengan anggaran KDNK suku keempat 2024 pada 4.8%, Malaysia dijangka mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi 4.8% hingga 5.3%. Pertumbuhan dijangka kekal kukuh pada 2025 antara 4.5% hingga 5.5%. Usaha konsolidasi fiskal juga akan mengurangkan defisit kepada 4.3% daripada KDNK pada 2024 dan 3.8% pada 2025, selaras dengan sasaran Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.