Pelakon dan pengarah, Datuk Seri Eizlan Yusof mengesahkan kini menyertai parti Pas seperti diumumkan dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya sempena Gelombang Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan, malam tadi.
Katanya, penyertaan itu dilakukan atas dasar keyakinan terhadap perjuangan parti yang berada di bawah Perikatan Nasional (PN).
“Ya, saya sudah sertai Pas. Saya sertai kerana saya percaya perjuangan yang dibawa bukan sekadar retorik dan parti ini bukan seperti yang digembar-gemburkan pihak lawan,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Menurut penggiat seni berusia 51 tahun itu, peluang bekerja dengan Bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa membuktikan kesungguhan figura itu menyatu padukan rakyat.
Malah selaku Ketua Penerangan Muafakat Nasional (MN) Negeri Selangor, Eizlan akui, pengalaman luas lebih lima dekad Pengerusi MN itu turut menyuntik inspirasi untuk sama-sama berjuang.
“Selama saya dengan Tan Sri (Annuar) di dalam MN saya melihat kesungguhan beliau menyatu padukan rakyat dan perjuangkan Islam serta Melayu tanpa mengenepikan perbezaan agama dan kaum,” katanya.
Dalam pada itu, Annuar berkata, kemasukan selebriti seperti Eizlan dilihat sebagai satu kesedaran dari pelbagai lapisan masyarakat.
“Kalau dulu orang melihat yang menyertai Pas adalah golongan agamawan tetapi sekarang ini datang dari pelbagai latar belakang dan juga dokongan dari bukan beragama Islam sendiri.
“Kita akan ada beberapa sesi berasingan pengumuman menyertai Pas bersama Eizlan. Malam ini adalah permulaan kepada gelombang kebangkitan rakyat,” katanya.
Selain Eizlan dan Annuar, Pas turut menerima keahlian baharu lebih 3,000 orang dari seluruh negara, termasuk bekas Setiausaha Sulit kepada mantan Menteri Luar, Datuk Fyzal Fauzy, penyanyi, Dayangku Intan serta PU Raihan.
Turut hadir pada acara dihadiri lebih 10,000 penyokong PN ialah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dan Setiausaha Agong Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Sebelum ini, Eizlan enggan mengesah atau menafikan mengenai dakwaan dirinya bakal menyertai PN.
Perkara itu menjadi bualan apabila dia kerap muncul bersama beberapa tokoh politik PN dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MN dalam beberapa program.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Eizlan bertanding kerusi Parlimen Sabak Bernam mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Sumber : Kosmo