PELAJAR kolej swasta berusia 19 tahun ditahan bersama enam kilogram (kg) kek ‘brownies khayal’ dalam serbuan di sebuah premis di Jalan 9, di sini, Sabtu lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) melancarkan serbuan pada jam 5 petang hasil risikan dijalankan pihaknya.
“Polis menahan lelaki warga tempatan dan merampas enam kilogram kek yang mengandungi ganja bernilai RM21,000.
“Suspek adalah penuntut kolej swasta. Pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak memiliki rekod kesalahan lampau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, suspek dipercayai aktif menjalankan pengedaran kek ganja sejak tiga bulan lalu.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti punca bekalan diperolehi. Ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia bebas daripada sebarang jenis dadah.
“Suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sumber gambar – Astro Awani | Sumber laporan – Harian Metro