LULUH hati seorang lelaki apabila kepulangannya dari tempat kerja disambut dengan keadaan isterinya yang kaku tidak bernyawa manakala bayinya menangis kelaparan di sisi jasad wanita itu.
Lelaki itu, Exly Jailon berkata, dia terkilan isterinya meninggal dunia ketika dia tiada di sisi wanita itu kerana tuntutan tugas.
“Daddy (panggilan Exly dengan isterinya) tidak tahu dari jam berapa lagi sayang (isterinya) sudah kehilangan nyawa…baby (bayi) kita meraung menangis kelaparan.
“Andaikan saja masa itu baby pun ada apa-apa (perkara tak diingini berlaku) masih mampukah daddy teruskan hidup,” katanya yang meluahkan perkara itu di Facebook secara bersiri sejak empat hari lalu.
Dakwa Exly, dia terpaksa keluar bekerja selepas majikannya hanya memberikan pelepasan dua hari cuti paterniti pada 5 dan 6 Mei untuk menjaga isterinya dalam pantang.
“(dapat) Paternity leave (untuk) mendiang isteri beranak dua hari saja.
“Saya pergi klinik (8 Mei) pun terpaksa ambil cuti tahunan untuk membawa isteri saya dan kemudian 9 Mei saya kehilangan dia.
“Kamu boleh bayangkan, balik-balik dari kerja wife (isteri) sudah tidak bernyawa, anak yang baru lahir dalam usia empat hari menangis tidak dapat menyusu di samping ibu dia yang sudah baring keras tidak bernyawa,” katanya.
Exly turut menggunakan platform itu untuk meluahkan rasa terkilan terhadap majikannya yang seolah-olah tidak memahami serta mengabaikan kebajikan pekerja.
“Masa wife (isteri) saya beranak kamu suruh juga datang kerja.. bila wife saya meninggal baru kamu senang-senang cakap kami turut bersedih dengan pemergian isteri kamu.
“Cakap saja bagi cuti tanpa gaji saya boleh terima, saya ini terpaksa kerja. Gara-gara komitmen kerja, saya balik wife sudah tak bernyawa.
“Bagus saya cuti tanpa gaji sajalah jaga mendiang wife saya dulu. Orang cuti berkabung pun kena ‘non pay leave’ (cuti tanpa gaji). Terbaik,” katanya menyindir majikannya itu.
Menerusi perkongsian sama Exly mendakwa dia mengalami ‘anxiety’ (keresahan) kerana masih tertekan dan bersedih dengan apa yang menimpa kepada keluarganya itu.
“Orang tak akan faham keadaan daddy macam mana bila datang ‘anxiety’, trauma dan tekanan dengan perasaan memberontak.
“Daddy dapat buat hanya meluahkan agar segala terpendam dalam hati terlepas tetapi tak akan cukup selagi daddy dalam keadaan trauma sangat mendalam.
“Memang semangat dan fikiran saya sekarang tengah kosong dan trauma saja tetapi terubat bila bersama anak yang jadi pendorong dan pembangkit semangat saya.
“Family (keluarga) semua pun suruh berehat di kampung ambil masa untuk tenangkan hati dan fikiran, terima kasih kepada kamu dan sahabat yang sudah anggap saya sebagai keluarga mereka yang sentiasa datang memberi semangat agar saya tidak berseorangan hadap semua ini,” katanya yang menetap di Kota Marudu, Kudat Sabah.
Sementara usaha Harian Metro mendapatkan cerita sebenar dari lelaki berkenaan sejak semalam tidak berjaya selepas dia tidak membalas kiriman mesej di Facebook.
Sumber gambar – Ihsan FB Exly Jailon | Sumber laporan – Harian Metro