PASUKAN Bawah 22 Tahun (B-22) negara memberi amaran mereka akan tampil lebih ‘mengaum’ di temasya Sukan Sea Kemboja apabila menjuarai kejohanan empat penjuru Piala Merlion 2023 semalam.
Tampil lebih meyakinkan kali ini, skuad kendalian E Elavarasan mengesahkan kejuaraan selepas menumpaskan Hong Kong 2-1 dalam aksi di Stadium Jalan Besar, di Singapura.
Menurut laporan Harian Metro, babak pertama menyaksikan skuad ‘adik’ Harimau Malaya lebih menguasai perlawanan dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke kubu lawan.
Bagaimanapun, separuh masa pertama tamat dengan tiada sebarang gol berjaya dicipta.
Memasuki babak kedua, jentera serangan negara diterajui Haqimi Azim, Safwan Mazlan dan Ruventhiran memperkemaskan taktikal bagi mencari gol pembukaan.
Malaysia sebenarnya boleh mendahului perlawanan dengan dua gol namun jaringan terbabit tidak dikira kerana pemain berada di kawasan ‘offside’ sekali gus memberi kelegaan kepada pasukan Hong Kong.
Gol yang dicari akhirnya muncul kira-kira 15 minit sebelum perlawanan tamat apabila Najmudin Akmal yang juga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) menanduk jaringan pertama perlawanan untuk kedudukan 1-0.
Bagaikan mendapat tonik, Safwan yang sebelum ini melakukan dua percubaan jarak jauh akhirnya mampu tersenyum apabila rembatan kali ketiga dari luar kotak penalti berjaya menerjah jaring untuk Malaysia selesa mendahului 2-0.
Namun, penyakit skuad muda negara yang sering leka apabila sudah mendahului perlawanan menyebabkan mereka dihukum menerusi serangan berbahaya Hong Kong.
Hal ini kerana, kesilapan penjaga gol Rahadiazli Rahalim gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya disambar pemain Hong Kong Lau Ka Kiu sebelum dia menyumbat gol untuk kedudukan 2-1.
Kedudukan 2-1 yang kekal ke akhir perlawanan menyaksikan Malaysia akhirnya menamatkan kemarau lebih 41 tahun merangkul kejuaraan di bumi Singapura.
Gambar : Harian Metro | Sumber : Harian Metro