Kelengkapan Komunikasi Perlu Diperakui Mengikut Peraturan Ditentukan – Fahmi

KUALA LUMPUR: Semua kelengkapan komunikasi seperti alat kelui dan walkie-talkie perlu diperakui mengikut Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menjelaskan perkara ini selepas kebimbangan yang dibangkitkan oleh Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai penggunaan teknologi komunikasi untuk tujuan keganasan, seperti yang berlaku di Lubnan di mana alat kelui dan walkie-talkie digunakan dalam serangan yang mengorbankan ramai orang awam.

Fahmi berkata, pemerakuan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) lebih tertumpu kepada aspek teknikal seperti keselamatan elektrik, penggunaan frekuensi radio, dan kepatuhan kepada standard yang ditetapkan.

Namun, beliau menjelaskan bahawa aspek keselamatan fizikal seperti penyalahgunaan atau pengubahsuaian kelengkapan komunikasi untuk tujuan keganasan berada di luar kawalan MCMC dan melibatkan agensi lain.

Mengenai langkah-langkah bagi mengelakkan pengeksploitasian peranti komunikasi, Fahmi berkata pemerakuan bertujuan memastikan kelengkapan komunikasi mematuhi kod teknik dan standard yang ditetapkan oleh MCMC, termasuk keselamatan elektrik dan keserasian elektromagnetik.

Setiap kelengkapan yang diperakui perlu memaparkan tanda atau label pemerakuan yang diluluskan oleh MCMC atau agensi pemerakuan berdaftar. Sebarang perubahan pada kelengkapan komunikasi boleh menyebabkan pemerakuan yang telah dikeluarkan terbatal.

Fahmi juga menjelaskan bahawa kelengkapan komunikasi tertakluk kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, yang melarang pengimportan alat komunikasi ke dalam negara tanpa Sijil Pematuhan (COA).

MCMC telah melantik SIRIM QAS International Sdn Bhd sebagai agensi pemerakuan untuk kelengkapan komunikasi di Malaysia, manakala SIRIM juga dilantik oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk mengeluarkan COA bagi kelengkapan tersebut.