Pakat Mai Karnival Gen-AI: Tawar Aktiviti, Hiburan, Hadiah & Peluang Pekerjaan

Ada Apa Dengan Melly..? PROM NITE

Kuala Lumpur, 18 Jun 2024** – Persatuan Kebajikan dan Pembangunan Sahsiah (SAHSIAH) bersama Persatuan Kebajikan Muafakat Bersaudara, dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Harmoni Bukit Mertajam dan Pertubuhan Penggerak Nadi Muda Pulau Pinang (PPNM), akan menganjurkan Karnival Gen-AI di Pulau Pinang buat julung kalinya.

Menurut Penganjur Bersama, Muhammad Fadzli Roslan, Karnival Gen-AI akan berlangsung selama dua hari, pada Jumaat, 21 Jun 2024 dan Sabtu, 22 Jun 2024, di C-Mart, Simpang Ampat, Pulau Pinang.

“Karnival ini terbuka kepada orang ramai, khususnya anak muda di sekitar Pulau Pinang, Kedah, Perlis, dan Perak. Pelbagai program menarik disediakan, termasuk pertandingan Muay Thai Kuda Merah pada Jumaat malam, Karnival Kerjaya, Pameran Agensi, dan pertandingan e-sports,” kata Fadzli. “Kami menjanjikan penganjuran kali pertama ini akan berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti dan persembahan artis terkenal.”

Fadzli juga menambah, pengunjung akan dapat menyaksikan persembahan daripada selebriti terkemuka tanah air seperti Apak & Chombi, kumpulan Khalifah, Senario, Floor 88, dan Sufian Suhaimi. Karnival ini turut diserikan dengan kehadiran vendor lokal utara seperti Jalan Pasola dan gerai-gerai menarik untuk pengunjung berbelanja.

“Kami percaya barisan artis yang merangkumi pelbagai golongan dan peringkat umur akan menarik kehadiran pengunjung untuk ‘menyerbu’ karnival ini. Jangan lepaskan peluang keemasan untuk hadir beramai-ramai ke Karnival Gen-AI di C-Mart, Simpang Ampat, Pulau Pinang,” ujar Fadzli.

Sementara itu, Sufian Suhaimi mengakui bertuah diundang untuk terbabit dalam Karnival Gen-AI dan tidak sabar untuk bertemu peminatnya. “Saya seronok menyertai program sebegini kerana dapat mendekatkan diri dengan peminat. Suasananya amat berbeza dengan persembahan di tempat tertutup,” kata Sufian. “Di karnival begini, semua orang boleh hadir untuk menonton persembahan saya dan artis-artis lain serta terlibat dengan program bermanfaat lain.”

Pendapat sama turut diluahkan oleh kumpulan Floor 88 yang popular menerusi lagu “Hutang”. Mereka berjanji akan memberikan persembahan maksimum kepada pengunjung yang datang. “Datang sendiri dan saksikan persembahan kami serta artis lain. Kami menyeru semua agar datang beramai-ramai menyokong usaha empat persatuan ini. Kami percaya ia pasti akan menjadi kenangan manis buat anda nanti,” kata mereka.

Mereka juga menambah, pengunjung bertuah mungkin berpeluang membawa pulang hadiah-hadiah menarik menerusi Cabutan Bertuah yang diadakan.