KUALA LUMPUR – Ketua Polis Kuala Lumpur menyeru pegawai dan anggota kontinjennya supaya segera meninggalkan salah laku yang dilakukan sebelum ini bagi memastikan pasukan sentiasa mematuhi integriti dan tatakelola yang betul.
Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, sejak beliau memulakan tugas di kontinjen itu, terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaiki bagi memastikan pasukannya tidak terus dilabel sebagai gagal.
“Jika seorang dalam pasukan gagal, semua akan gagal. Kita akan terus gagal kerana terdapat kelompok pegawai belum sedar keperluan mengubah perkara yang tidak baik.
“Saya turut mengingatkan Ketua Polis Daerah untuk tidak lagi hanya memberi arahan kepada anak buah, tetapi menjadi seorang pemimpin dan bukan ‘bos’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Menurut beliau, apa yang dilakukannya seiring dengan visi dan misi diamanahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Tambah Mohd. Shuhaily, menjadi lumrah seorang pemimpin membuat keputusan yang tidak popular bagi memastikan tidak berlaku kemudaratan dalam pasukan.
“Pada minggu lepas, KPN mengumumkan usaha untuk ‘profile’ pegawai kanan dan anggota yang menjalani tugas di luar bidang kuasa mereka. Tuan-tuan dan puan-puan tahu di mana kalian berdiri.
“Sekiranya ada yang melaksanakan perkara di luar lingkup tugasan polis, saya tidak kompromi dengan salah laku tidak kira dari sesiapa pun,” katanya.
Dalam majlis sama, Datuk Azry Akmar Ayob secara rasminya dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur berkuat kuasa hari ini menggantikan pemangkunya, Senior Asisten Komisioner, Habibi Majinji.
Majlis pelantikan itu disaksikan Mohd. Shuhaily.
Majlis kemudian diteruskan dengan upacara menandatangani dan pertukaran dokumen serah terima tugas di antara Habibi Majinji dan Azry Akmar serta disaksikan oleh Mohd. Shuhaily.
Sumber : Kosmo