NIAT dua anggota polis datang untuk membantu bertukar insiden apabila diserang seorang lelaki yang sedang mengamuk pada jam 2 pagi tadi.
Ketika kejadian, suspek lelaki yang berusia 48 tahun itu telah bertindak agresif dengan membaling pinggan kaca kearah seorang anggota polis sehingga menyebabkan kecederaan kepada salah seorang anggota.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, pada awalnya, polis menerima aduan bahawa terdapat individu yang sedang mengamuk di kawasan Damansara Damai sebelum anggota polis ke lokasi kejadian.
Anggota yang cedera menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Dalam masa sama, suspek turut memegang pisau memotong daging dan tukul besi di kedua-dua belah tangan suspek.
“Suspek juga mengeluarkan kata-kata kesat yang membawa unsur penghinaan kepada anggota polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tindakan suspek bagaimanapun tidak menghalang anggota polis membuat tangkapan yang seterusnya mengakibatkan pergelutan antara suspek dan pihak polis.
Hasil siasatan polis mendapati, suspek mempunyai lebih lima rekod jenayah melibatkan kes jenayah dan dadah.
Sementara itu, anggota polis yang mengalami kecederaan di bahagian siku serta kesan lebam di beberapa anggota badan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.
Manakala suspek telah direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.