IBU kepada usahawan selebriti terkenal Neelofa seakan-akan memberi bayangan anaknya itu bakal menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat.
Melalui perkongsiannya di Instagram, Datin Noor Kartini menjelaskan Neelofa bakal dibimbing dan dibahagiakan seseorang.
“Syukur ku padaMu… Saat yang ku tunggu-tunggu dah pun tiba, kau hadirkan insan istimewa yang bakal membimbing bidadari kesayangan ku.
“Aku yakin dengan ketentuanMu, yang mana insan ini dapat membahagiakannya, dapat menyerikan dan melengkapi hidupnya,yang akan menyokong setiap apa saja urusan nya,” tulis Kartini.
Lebih menarik, perkongsian tersebut turut disertakan bersama sekeping gambar dia dan Neelofa bersama pendakwah selebriti PU Riz.
Perkongsian itu menguatkan lagi desas-desus kisah hubungan istimewa yang dikaitkan dengan dua selebriti terkenal itu.
Dalam pada itu, Kartini, 54, turut mendoakan kebahagiaan Neelofa dalam perkongsiannya itu.
“Ya Allah jadilah mereka penyebab kami menjadi tetamu istimewamu di syurga Mu nanti… Mama mendoakan yang terbaik untuk mu sayang,” tambah kartini.
Dalam pada itu, portal berita Awani mendedahkan Neelofa dan keluarga telah menerima kunjungan merisik PU Riz pada Ahad.
Neelofa dan PU Riz juga difahamkan bakal disatukan sebagai suami isteri pada penghujung Mac 2021.