PERSONALITI media sosial yang dikenali sebagai Chazynash mengakui keterlanjurannya dalam menghasilkan video prank yang membabitkan jenaka memakai gelang merah jambu atau tag kuarantin yang tular beberapa hari lalu.
Melalui postingya di Instagram awal pagi Rabu, Instafamous tersebut berkata dia mengakui tidak sepatutnya memuat content sedemikian.
“Tak Sangka begitu ramai yang kecam sampai ke tahap sekarang.
“Walaupun ada yang kata okay sahaja video tu, tapi saya tak mampu nak buat apa-apa.
“Saya setuju, saya tak patut post content sebegitu. Alhamdulillah video pun saya dah delete, “ tulisnya di Instagram
Chazynash juga berjanji dia akan lebih berhati-hati dalam menghasilkan content selepas ini.
Dia turut membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia yang tersinggung.
“Selepas ni kalau saya nak buat content lagi, saya kena lebih berhati-hati.
“Benda ni tak boleh buat main-main, memang niat kita nak hiburkan orang sahaja tapi jangan jadi macam kes saya ni, naya Pak Karim!
“Minta maaf kepada semua rakyat malaysia dan juga Frontliner kita,” tulisnya lagi.
Terdahulu melalui laporan mstar pada Selasa, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan mana-mana individu yang mempersendakan gelang pink adalah dianggap sebagai satu kesalahan.
Ia seakan menipu orang ramai kerana semua maklum gelang berkenaan hanya untuk mereka yang menjalani kuarantin.
“Kalau dia betul-betul dikuarantin, keluar dengan pakai gelang pink tentu saja dia akan dikenakan tindakan.
“kalau dia tidak dikenakan kuarantin, tapi pakai gelang, dia juga menipu menggunakan bahan atau peralatan daripada Kementerian kesihatan untuk tindakan tertentu bertujuan tertentu dan tujuan dia adalah menipu orang ramai. Dia pun salah melakukan perkara tersebut,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikian selepas ditanya mengenai golongan influencer yang mempersendakan gelang merah jambu dengan tujuan gurauan atau prank kepada orang awam.
Tambah Ismail Sabri, beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan berhubung perkara tersebut.
“Terserah kepada polis untuk ambil tindakan.
“Saya harap kita perlu bertanggungjawab. Jangan kita menjadikan ini sebagai bahan mainan atau ketawa. Ini melibatkan isu nyawa, isu besar.
“Jadi, jangan menganggap ini perkara yang boleh dibuat lawak, di main-mainkan kerana kesannya adalah amat besar,” katanya.
Sumber: mstar