PUTRAJAYA – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah pesawat ringan model BK 160 Gabriel dengan nombor pendaftaran I-POOC telah terhempas dekat Kapar, Selangor pada Selasa, 13 Februari 2024. Pesawat berkenaan yang dikendalikan oleh Air Adventure Flying Club telah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada jam 1.28 petang bagi penerbangan rekreasi.
Hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada jam 1:35 petang, namun tiada panggilan kecemasan diterima. Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautikal Kuala Lumpur (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) diaktifkan serta merta untuk mengenal pasti lokasi pesawat.
Terdapat dua penumpang termasuk seorang juruterbang berada dalam pesawat tersebut namun keadaan kedua-dua mangsa masih belum dapat dipastikan setakat ini. Siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016.
Sumber : Civil Aviation Authority of Malaysia