
Barcelona: Transformasi digital memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan kemajuan masyarakat.
Sehubungan itu, negara menyeru kerjasama global kukuh dalam usaha membina masa depan lebih terhubung, inovatif dan lestari.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, ketika merasmikan Pavilion Malaysia di Mobile World Congress (MWC) 2025, berkata negara komited memanfaatkan kemajuan teknologi bagi merapatkan jurang digital dan meningkatkan keterhubungan.
“Kerjasama dunia dalam membentuk masa depan digital dipacu oleh kelestarian, keterangkuman dan inovasi canggih amat dialu-alukan.
“Penyertaan ini mencerminkan komitmen negara bagi mempercepat transformasi digital dengan memastikan elemen keterangkuman dan kelestarian sentiasa diberi keutamaan,” katanya.

Mohamad Fauzi berkata, kemajuan pesat ekonomi digital negara didorong oleh inisiatif nasional utama seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), pelaksanaan 5G dan penubuhan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi memperkasa komuniti setempat.
Jelasnya, sehingga 31 Disember 2024, lebih 9.03 juta premis mendapat akses kepada Internet berkelajuan tinggi menerusi JENDELA, sekali gus mengatasi sasaran awal kerajaan sebanyak 9 juta premis menjelang 2025.
“Sementara itu, kelajuan jalur lebar mudah alih negara mencapai median 105.36 Mbps.
“Negara juga mencapai liputan 5G sebanyak 82.4 peratus di kawasan berpenduduk dengan kadar penembusan mudah alih 5G sehingga 56.18 peratus.
“Pencapaian ini mengukuhkan kedudukan negara sebagai pemain digital utama di rantau ASEAN,” katanya.

Beliau turut menekankan usaha rintis dalam perkongsian infrastruktur melalui inisiatif 6-Way Multi-Operator Core Network (MOCN) yang membolehkan pengendali rangkaian mudah alih mengoptimumkan sumber sambil memperluaskan keterhubungan di seluruh negara.
Inisiatif pertama seumpamanya di rantau ASEAN, menetapkan penanda aras baharu dalam kerjasama antara penyedia perkhidmatan mudah alih, kerajaan negeri dan pihak berkuasa kawal selia.
Pada masa sama, MCMC Nexus l mengubah daripada ujian kepantasan mudah kepada alat analitik canggih menyediakan maklumat terperinci prestasi rangkaian dan pengalaman pengguna di seluruh negara.
Ia membolehkan pengguna rangkaian Internet melaporkan secara terus ke aplikasi tersebut dan ia akan terus dilaporkan kepada penyedia perkhidmatan untuk menambah baik perkhidmatan mereka.
Pavilion Malaysia menjadi platform untuk mempamerkan kemajuan teknologi negara, menonjolkan pencapaian dalam pelaksanaan rangkaian 5G, kecerdasan buatan (AI) dan pengukuhan infrastruktur digital.
Buat pertama kali, negara membuat perubahan ketara dalam penyertaannya di MWC dengan menghimpunkan kehadirannya di bawah Pavilion Malaysia.
Langkah berkenaan disokong oleh Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta pengendali rangkaian mudah alih (MNO) utama, bertujuan meletakkan negara sebagai peneraju ekonomi digital di ASEAN dan pemain utama di peringkat global.
MWC 2025 berlangsung dari 3 Mac hingga 6 Mac ini di Barcelona, merupakan pameran teknologi mudah alih terbesar di dunia, menghimpunkan pemimpin industri, pembuat dasar dan inovator bagi membincangkan masa depan keterhubungan digital.