KUALA KANGSAR – Sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang membuang sampah di tepi jalan berhampiran pintu masuk Sekolah Kebangsaan (SK) Clifford dan SK Datin Khadijah di sini menjejaskan semangat murid ketika hadir ke sekolah.
Lebih mengecewakan tindakan itu dilakukan di kawasan yang telah dipacakkan notis larangan membuang sampai oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK).
Seorang penduduk sekitar, Ahmad Nizar Zuhari, 37 tahun, melahirkan rasa marah dengan kejadian menyakitkan mata tersebut kerana menyebabkan bau busuk.
“Malah tikus, burung, anjing datang ke longgokan sampah menyebabkan kawasan bersepah, berbau dan mengotorkan jalan,” katanya hari ini.
Seorang ibu yang menghantar anak ke sekolah, Noriah Ibrahim, 34 tahun merasa kasihan dengan kanak-kanak kerana terpaksa melihat suasana tersebut dan menjadi contoh tidak baik kepada generasi baharu.
“Sepatutnya tengok dahulu kawasan sekeliling, gunakan akal fikiran, kawasan sekolah tidak sesuai,” katanya yang meminta MPKK mengambil tindakan lebih keras kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.
Sementara itu Setiausaha Perbandaran MPKK, Saiful Azli Mohamed Nor, mengharapkan orang ramai atau masyarakat lebih bertanggungjawab dengan sampah sendiri dan jangan membuang sampah di kawasan yang tidak sepatutnya.
Katanya, tempat berkenaan telah diletakkan papan tanda larangan membuang sampah, namun masih ada segelintir pihak masih membuang sampah di lokasi tersebut.
“Bagi mengatasi isu ini, pemantauan berkala oleh Jabatan Penguatkuasaan MPKK dan jika kita dapat menangkap pelaku, kompaun akan dikeluarkan kepada mereka,” katanya.
Tambah beliau, pembersihan juga telah dilakukan oleh pihak MPKK dan kutipan sampah dari pintu ke pintu dilaksanakan dua hari sekali.
Sumber : Utusan Malaysia