Muhyiddin Sedia Bekerjasama Semula Dengan Tun Mahathir

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyatakan beliau bersedia bekerjasama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ia susulan bekas Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu terlebih dahulu menyatakan kesediaannya bekerjasama semula dengan bekas sekutunya itu, lapor Buletin TV3.

“Saya menyambut baik kenyataan (Tun) Dr. Mahathir Mohamad yang bersedia bekerjasama dengan saya demi matlamat untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam.

“Sebagai seorang Muslim, saya secara peribadi bersedia untuk bekerjasama dengan semua tokoh Melayu dan Islam termasuk (Tun Dr.) Mahathir demi perjuangan membela agama, bangsa dan negara,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan kesediaannya itu juga didorong dengan perkembangan politik mutakhir ini yang meletakkan umat Melayu dan Islam di negara ini di suatu persimpangan getir.

Terdahulu, media melaporkan Tun Dr. Mahathir mengakui beliau bersedia bekerjasama dengan Tan Sri Muhyiddin sekiranya kedua-dua pihak dapat mencapai matlamat yang sama.

Tun Dr. Mahathir dilaporkan berkata usaha untuk memperjuangkan nasib orang Melayu perlu dijadikan matlamat utama selain menolak individu yang terpalit dengan isu rasuah atau salah laku jenayah.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, kesediaan bekas perdana menteri itu membuktikan partinya dan PN kini menjadi alternatif kepada UMNO.

Katanya, BERSATU sedia menerima dan bekerjasama dengan mana-mana pemimpin politik termasuk Tun Dr. Mahathir yang mencari platform perjuangan untuk orang Melayu.

Sumber : Buletin TV3