MSU Lancar Inisiatif Kesukarelawan, Bantu Keluarga B40

Management and Science University (MSU) melalui Yayasan MSU dan Jabatan Pembangunan Pelajar dan Kerjaya (SCD)melancarkan inisiatif kesukarelawan ‘MSU Community Outreach Week’, khusus bagi menyantuni keluarga B40 berkenaan di seluruh negara termasuk di Bangalore, India dan Jakarta, Indonesia.

MSU dalam kenyataan berkata, ‘MSU Community Outreach Week’ membabitkan penyaluran sumbangan barangan keperluan asas serta sumbangan wang tunai berjumlah RM180,000 bagi meringankan beban kira-kira 500 keluarga dengan 2000 isi rumah yang terjejas dan menghadapi masalah sumber pendapatan.

“Bagi Lembah Klang, di antara kawasan yang terbabit dalam pengagihan bantuan berkenaan termasuklah Kampung Melayu Subang, Bandar Botanik, Taman Pendamar, Taman Sri Kapar, Taman Bayu Perdana, Pandamaran Jaya, Kampung Air Kuning (Perkampungan Orang Asli), Pinggiran USJ, Bandar Pinggiran Subang, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Kampung Pasir Baru dan Seksyen 7, Seksyen 16 serta Seksyen 20 di Shah Alam.

“Sumbangan 500 kotak bantuan ini bermula pada 20 Jun lalu sehingga semalam yang diagihkan warga MSU sama ada melalui kampus induk di Shah Alam atau kampus satelit MSU di seluruh negara termasuklah kampus pesisir antarabangsa MSU di India dan Indonesia,” kata kenyataan itu.

Kemuncak program ‘MSU Community Outreach Week’ ini ialah perlaksanaan majlis Qurban Perdana pada 29 Jun bersempena sambutan Hari Raya Aidil Adha.

Hadir sama pada majlis pelancaran inisiatif itu adalah Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

Program ini juga adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) khususnya SDG 1: No Poverty, SDG 2: Zero Hunger, SDG 11: Sustainable Cities and Communities serta SDG 17 for Partnerships for the Goals.

Sumber : Berita Harian