Minyak Penyejuk Kabel Dipercayai Punca Kebakaran Di Mid Valley

Siasatan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati kebakaran di Mid Valley Megamall, hari ini dipercayai akibat minyak penyejuk kabel di dalam pencawang masuk utama Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terlampau panas.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Kuala Lumpur M Fatta M Amin berkata, minyak terbabit yang sukar untuk terbakar kerana ia boleh tahan sehingga suhu mencecah 137 darjah selsius, digunakan untuk menyejukkan kabel di dalam pencawang dan bukan untuk menjana kuasa elektrik.

“Tetapi, dipercayai terdapat haba yang berlebihan daripada pencawang itu yang sekali gus sampai ke tahap terbakar,” katanya ketika ditemui wartawan Bernama di lokasi kejadian.

Menurutnya, terdapat empat pencawang utama TNB di bangunan Mid Valley, namun hanya satu yang terbakar manakala tiga lagi tidak terjejas.

Katanya, kesemua pencawang itu mampu membekalkan elektrik dalam radius hingga 10 kilometer (km) dari bangunan Mid Valley.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, siasatan awal polis mendapati tiada unsur khianat dikesan berhubung kejadian terbabit.

Tangkap layar dari MetroTV

“Bagaimanapun, polis masih menunggu siasatan lanjut daripada forensik JBPM,” katanya yang turut berada di lokasi kejadian.

Katanya, beliau difahamkan setakat ini bekalan elektrik hanya terjejas di bangunan Mid Valley.

“Bagi kawasan dalam radius 10 km dari sini, saya mendapat laporan bahawa pihak TNB telah pun mengambil langkah-langkah tertentu dan bekalan elektrik tidak terjejas,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa video dalam media sosial yang menunjukkan kepulan asap hitam keluar daripada bangunan itu kira-kira 10.30 pagi tadi.

Sumber : Bernama