USAHAWAN kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamarzzaman atau lebih dikenali dengan nama panggilan Sajat disarankan untuk menyerah diri kepada pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Bulan lalu, JAIS difahamkan telah mengeluarkan waran tangkap terhadap usahawan kosmetik berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara itu mampu diselesaikan dengan cara yang baik.
“Saya ingin menasihatkan saudara Sajat supaya berjumpa dengan pegawai JAIS, dan selesaikan isu ini secara baik.
“Ini supaya keadaan tidak menjadi lebih tegang, dan saya sudah berbincang dengan pegawai-pegawai JAIS mengenai isu ini, apa yang saya lihat tindakan oleh JAIS adalah sesuai dengan keadaan,” katanya.
Tambah Dr Zulkifli, Sajat tidak sepatutnya membuat keputusan untuk keluar dari Agama Islam .
“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menggerakkan satu jawatankuasa hal ehwal agama atau Jawatankuasa Pemandu bagi menangani isu atau aktiviti yang berkaitan dengan penyelewengan ajaran Islam,” katanya lagi.
Januari lalu, Sajat membuat pengakuan tidak bersalah melibatkan pertuduhan mengakibatkan agama Islam dipandang hina apabila berpakaian menyerupai wanita.
Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam kemudiannya mengeluarkan waran tangkap terhadap usahawan kosmetik berumur 36 tahun itu selepas dia tidak hadir semasa sebutan semula kes berkenan, bulan lepas.