MAYAT seorang warga emas ditemui terapung yang dipercayai jatuh ke dalam longkang di kawasan perumahan Rumah Murah Kuala Sepetang, Taiping, Perak hari ini.
Mangsa, Mayat Yeoh Liong Hee, 71 tahun ditemui sekitar jam 8.30 pagi menurut Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat.
Menurutnya lagi, lokasi penemuan mayat itu berhampiran dalam longkang di kawasan berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Poey Eng, Kuala Sepetang.
“Hasil siasatan bagaimanapun mendapati tiada sebarang unsur jenayah berdasarkan pemeriksaan terhadap tubuh si mati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anak kepada mangsa turut membuat pengecaman mayat dan telah mengakui warga emas tersebut merupakan bapanya.
Operasi mengeluarkan mayat turut melibatkan bantuan anggota bomba dan Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk pemeriksaan awal serta sanitasi COVID-19.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Taiping untuk tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.