MATA Pesan Supaya Berwaspada Dengan Tawaran Pakej Murah Badal Haji

Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menyarankan rakyat Malaysia supaya lebih berhati-hati dengan tawaran badal atau upah haji yang tumbuh bak cendawan dengan menawarkan kos serendah RM1,500 hingga RM3,500 seorang.

MATA dalam kenyataan memaklumkan, pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah menetapkan empat kategori pakej haji yang disediakan untuk penduduk tempatan tahun ini, dengan kos antara SAR3,984 (RM4,819.79) hingga SAR 11,841 (RM14,325.08).

“Dengan kos yang dikenakan kepada penduduk tempatan seperti yang dinyatakan adalah mustahil khidmat badal haji boleh dilakukan di bawah kos tersebut.

“Rakyat Malaysia diminta tidak terpedaya dengan kos sedemikian yang ditawar oleh mereka,” menurut MATA dalam kenyataan kepada Harian Metro.

MATA berpendapat tindakan tegas perlu diambil oleh pihak berkuasa kepada mereka yang menawarkan khidmat badal haji dengan harga tidak munasabah dan hanya ingin mengaut keuntungan semata-mata dengan mengetepikan soal halal dan haram.

Persatuan itu turut mencadangkan agar kerajaan mengawal selia khidmat perniagaan badal haji mengikut perundangan yang dikeluarkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dan bukannya boleh dilakukan sesuka hati tanpa pengawasan.

Sumber : Harian Metro