PENYAMPAI radio Molek FM, Mat Dan, 33, meluahkan kekecewaannya kepada pemilik rumah sewa yang melanggar kontrak selama setahun tanpa sebab munasabah sekali gus mencabul haknya sebagai penyewa.
Mat Dan atau nama Islamnya, Mohammad Kareef Daniel Abdullah berkata, ejen dan pemilik rumah itu seperti bersepakat untuk menganiaya dirinya dan isteri, Nadifa Adnan yang kini sedang sarat mengandung.
Malah, dia juga turut mengeluarkan kos bagi mengubah suai rumah untuk keselesaannya bersama keluarga dalam tempoh setahun menyewa.
“Saya baru saja berpindah ke Setia Alam pada bulan Februari lalu kerana ingin dekat dengan tempat kerja dan hospital memandangkan isteri bakal bersalin dalam minggu ini atau minggu depan.
“Jadi sebaik saja berpindah masuk, saya membuat sedikit ‘renovation’ pada bahagian kabinet dapur, mengecat dan memasang penghawa dingin. Biasalah, apabila berpindah ke rumah baru pastinya kita ubah suai mengikut keselesaan.
“Tiba-tiba pada Sabtu lalu saya menerima kiriman WhatsApp daripada tuan rumah meminta saya untuk keluar pada bulan Mei nanti. Tanpa memberikan alasan kukuh, ejen hartanah juga turut menggesa saya pada Isnin.
“Jika dia sudah membuat keputusan untuk menjual rumah, kenapa dia tanda tangan perjanjian untuk sewakan selama setahun. Bukan saja kos, malah urusan berpindah juga memenatkan. Apatah lagi saya bukan orang kaya,” katanya kepada Harian Metro.
Tegas Mat Dan, tindakan tidak bertanggungjawab pemilik rumah dan ejen berkenaan membuatkan dirinya seperti dianiaya, apatah lagi menyusahkan beliau kerana terpaksa mencari rumah dalam tempoh yang singkat.
Malah, selepas memberikan notis pada Sabtu lalu, pihak ejen turut menggesa Mat Dan untuk menandatangani persetujuan untuk berpindah.
“Dia berikan notis pemberitahuan pada Sabtu, semestinya saya memerlukan tempoh untuk berbincang dengan peguam. Hari minggu saya terganggu apabila terjadinya insiden sebegini.
“Sudahlah saya hendak memikirkan mengenai isteri yang sarat mengandung dan bakal bersalin bila-bila masa, kini dibebankan mengenai isu rumah pula.
“Saya rasa tidak adil dan pemilik rumah mempunyai niat jahat, bagaimana pula saya hendak berpindah ketika isteri masih lagi menjalani tempoh berpantang pada bulan Mei itu. Oleh itu, saya ingin mempertahankan hak saya,” kata Mat Dan yang turut mendapatkan nasihat perundangan daripada Pengarah Advokasi Khidmat Guam, Mahmud Jumaat berhubung perkara itu, semalam.
Gambar : Wikipedia | Sumber : Harian Metro