Masjid Madani Dibangunkan Melalui Kebijaksanaan Rundingan, Bukan Keangkuhan – Perdana Menteri Anwar

Ada Apa Dengan Melly..? PROM NITE

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa pembinaan Masjid Madani di Jalan Munshi Abdullah adalah bukti kebijaksanaan, kekuatan, dan kemuliaan Islam dalam berunding, bukan hasil keangkuhan.

Beliau berkata, kejayaan projek ini dicapai selepas pihak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman bersetuju untuk berpindah ke lokasi baharu bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid yang dimiliki oleh Kumpulan Jakel.

Menurut Anwar, kerajaan mengambil pendekatan berhikmah dengan mengadakan perbincangan bersama pihak kuil bagi memastikan pembinaan masjid itu dapat direalisasikan tanpa ketegangan.

“Dalam isu ini, saya tegaskan kepada rakan-rakan dan jemaah menteri bahawa kita perlu berunding dan bertolak ansur, tetapi tanpa berganjak daripada keputusan bahawa masjid wajib didirikan di lokasi ini. Namun, ia mesti dilakukan dengan kebijaksanaan.”

Beliau turut menyeru agar hubungan baik antara masyarakat dipelihara dan sebarang pergeseran yang timbul dapat diselesaikan melalui perbincangan yang harmoni.

“Negara ini harus berdiri sebagai negara yang aman, kerana hanya keamanan yang mampu menjamin keselamatan kita semua.”

Sejarah Kuil dan Kontroversi

Turut hadir dalam majlis pecah tanah Masjid Madani ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, serta Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel.

Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman sebelum ini menjadi tumpuan kontroversi kerana struktur asalnya dikatakan telah dibina sejak 1893, jauh sebelum penubuhan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi pendahulunya. Selepas kemerdekaan, tanah tersebut menjadi milik DBKL sebelum dijual kepada Jakel pada 2014.

Jakel kemudiannya mengumumkan rancangan untuk membina Masjid Madani di tapak tersebut, yang mencetuskan pelbagai reaksi dari masyarakat.

Anwar Seru Keseimbangan dalam Menangani Isu Sensitif

Dalam ucapannya, Anwar mengingatkan semua pihak agar tidak melampaui batas ketika membincangkan isu kuil ini.

“Saya tahu ada reaksi melampau dari kedua-dua pihak, baik umat Islam mahupun penganut Hindu, yang melemparkan pelbagai kenyataan di media sosial tanpa menyelidiki fakta sebenar atau mempertimbangkan kesannya.”

Beliau menegaskan bahawa kejayaan pembinaan masjid ini bukan kerana sikap angkuh, tetapi kerana keupayaan umat Islam untuk menunjukkan kebijaksanaan, kekuatan, dan kemuliaan dalam berunding.

“Kemenangan ini bukan kerana kita mahu mendabik dada, tetapi kerana kita mampu menjadi contoh yang baik. Islam mengajar kita agar berakhlak mulia, bersikap ihsan, penyayang, dan adil, bukannya bengis atau penuh kebencian.”