MASJID Kariah Desa Anggerik, dekat Juasseh, di Kuala Pilah, membuat kelainan dengan menjadikan wang syiling di dalam dulang sebagai duit raya kepada golongan kanak-kanak sempena Syawal kali ini.
Duit syiling berjumlah kira-kira RM550 itu diletakkan di dalam dulang dan kanak-kanak dibenarkan mengambil sendiri duit raya mereka dengan menggunakan dua tangan dan nilainya bergantung kepada jumlah yang diambil.
Pengerusinya, Nasarudin Zainal berkata, aktiviti itu diadakan secara suka-suka bagi menceriakan suasana pagi Syawal selain menggalakkan kanak-kanak untuk datang ke masjid.
“Alhamdulillah, selesai solat dan khutbah Aidilfitri pagi ini, kami mengadakan jamuan. Kemudian kami mengadakan satu acara duit raya dalam dulang yang mana kanak-kanak dibenarkan seberapa banyak duit syiling yang diletakkan di dalamnya.
“Syaratnya hanya dibenarkan mengambil sekali saja menggunakan dua tangan. Kanak-kanak usia enam hingga 12 tahun dibenarkan menyertai acara ini,” katanya, hari ini.
Nasarudin berkata, duit syiling berkenaan adalah sumbangan orang ramai kepada tabung masjid dan terkumpul banyak kerana hanya wang kertas saja yang digunakan untuk pelbagai urusan.
“Daripada ia terbiar begitu haja, kami lahir dengan idea ini sekurang-kurangnya memberi manfaat kepada anak kariah yang mana kami lihat kanak-kanak serta ibu juga gembira dan teruja.
“Ini kali pertama kami mengadakan acara seperti ini. Selain duit syiling itu, wang kertas turut diberikan kepada kanak-kanak sebagai tambahan,” katanya.
Ainnur Qayla Mardhiyya Mohd Farid, tujuh tahun, berkata, bapanya membawa ke masjid untuk solat Aidilfitri dan memberitahu akan diberikan duit raya dalam dulang.
“Saya tidak tahu cara duit raya dalam dulang ini diberikan tetapi ia bunyi macam seronok dan saya teruja. Rupanya kami kena ambil sendiri guna dua tangan dan selepas kira saya dapat RM13,” katanya kepada Harian Metro.
Sumber : Harian Metro | Gambar : Foursquare