IMPIAN menggunung peminat fanatik bola sepak tempatan menyaksikan penggempur muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin membuat penampilan sulung menerajui jentera serangan kelab Belgium, KV Kortrijk (KVK) sekali lagi tidak kesampaian.
Meskipun KVK berjaya mengatasi Royal Excel Mouscron dengan kemenangan selesa 3-0 awal pagi semalam, Luqman Hakim masih gagal memikat perhatian pengendali KVK, Yves Vanderhaeghe bagi memburu minit permainan pertama dalam aksi Belgian Pro League setakat ini.
Luqman Hakim yang berkelana ke bumi Belgium sejak bulan lepas telah mengumpul koleksi dua gol peribadi bersama KVK, namun kedua-dua jaringan itu sekadar terhasil dalam aksi persahabatan sebelum ini.
Biar masih belum mendapat kepercayaan jurulatih setakat ini, Luqman Hakim percaya masanya untuk menterjemahkan aksi terbaik atas padang akan tiba tidak lama lagi.
“Ia bukan isu besar sama ada saya akan beraksi penuh ataupun sekadar pemain gantian buat kelab.
“Yang paling penting, saya perlu sentiasa bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa,” ujar Luqman Hakim kepada New Straits Times.
Luqman Hakim memberitahu, usaha memikat perhatian jurulatih bukannya mudah memandangkan rakan-rakan sepasukan turut memberikan sepenuh komitmen untuk diturunkan.
“Saya harus sentiasa bersikap realistik.
“Kejayaan meledak gol (dalam aksi persahabatan) buat kelab juga benar-benar menyuntik moral saya untuk sentiasa memberikan yang terbaik sepanjang sesi latihan demi memikat perhatian jurulatih,” katanya.
Dalam aksi di Stadium Guldensporen semalam, gol-gol kemenangan KVK dicetak oleh Ilombe Mboyo, Gilles Dewaele dan Eric Ocansey, sekali gus melonjak kedudukan KVK menghuni tangga keempat liga dengan 10 mata.
Sementara Royal Excel Mouscron pula tempang apabila terpaksa beraksi dengan sembilan pemain setelah Jean Onana dan Deni Hocko diperintahkan keluar padang akibat layangan kad merah.
Selepas ini, skuad KVK kendalian Yves Vanderhaeghe akan berkunjung ke Stadium Stade Maurice Dufrasne berdepan Standard Liege Ahad ini.
Sumber: New Straits Times