Manchester United Kembali Bangkit Layak Ke “Final”

KUASA bola sepak Inggeris, Manchester United bangkit daripada minggu sukar dengan kemenangan 7-6 ke atas Brighton & Hove Albion bagi menempah slot final Piala FA, pada Ahad.

Keputusan itu ternyata melegakan pengendali Manchester United, Erik ten Hag tiga hari selepas The Red Devils disingkirkan kelab LaLiga, Sevilla dari Liga Europa.

Kemenangan dramatik Manchester United di Wembley menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 0-0 mengembalikan harapan baharu pengurus Belanda tersebut.

“Pada Khamis saya melihat pasukan yang saya tidak kenali, namun hari ini kami kembali seperti biasa apabila dapat melihat keazaman dan ketabahan.

“Kami berjuang untuk setiap pelosok padang dan bersaing dalam setiap pertempuran. Kami mempunyai peluang yang baik,” katanya.

Ten Hag sebelum itu menempelak pemain-pemain Manchester United selepas tewas 0-3 dengan agregat 2-5 pada suku akhir.

“Saya tidak boleh terima pasukan saya tidak memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan,” katanya.

Namun semua itu berubah selepas Victor Lindelof, pemain ketujuh United yang mengambil penentuan sepakan penalti menjaringkan gol kemenangan selepas sepakan bintang Brighton, Solly March Brighton tersasar.

“Dia cukup tenang apabila melibatkan penalti dan dia agak hebat secara umum dalam perlawanan ini,” kata Ten Hag mengenai Lindelof.

Dalam masa sama Ten Hag juga berpuas hati dengan penjaga golnya David de Gea, yang berjaya mengekang beberapa serangan agresif The Seagulls.

“Dia melakukan beberapa penyelamatan yang cemerlang berdepan Brighton, biarpun terasa sakit apabila dia melakukan kesilapan semasa menentang Sevilla.

“Selalunya apabila anda melakukan kesilapan sebagai penjaga gol, anda akan dihukum. Ya, kami mengecewakannya apabila kami tidak bangkit melawan Sevilla. Namun sebaliknya kami bangkit dalam perlawanan hari ini,” kata Ten Hag.

Sumber : Sinar Harian