Malim Gunung Nepal Selamatkan Pendaki Malaysia Dari ‘Zon Maut’ Everest

Seorang malim gunung atau sherpa dari Nepal, membantu membawa keluar pendaki Malaysia yang terkandas di ‘zon maut’ di Gunung Everest pada 18 Mei lalu, sebelum mangsa dibawa pulang ke Malaysia.

Memetik laporan Harian Metro, sherpa yang dikenali sebagai Gelje Sherpa, 30, menarik pendaki terbabit turun dari bawah puncak Gunung Everest dalam misi menyelamat beraltitud tinggi yang sangat jarang berlaku.

Ketika insiden itu, Gelje berkata, beliau membawa pendaki dari China ke puncak Everest setinggi 8,849 meter sebelum melihat seorang pendaki Malaysia berpaut pada tali dan menggigil akibat kesejukan melampau di kawasan yang dipanggil ‘zon maut’, di mana suhu boleh jatuh sehingga negatif 30 darjah Celsius atau lebih rendah.

Katanya, beliau kemudiannya menarik pendaki itu sejauh 600 meter turun dari kawasan Balcony ke South Col dalam tempoh kira-kira enam jam, sebelum seorang lagi sherpa, Nima Tahi turut sama membantu menyelamat.

“Kami menyelimutkan pendaki itu dengan ‘sleeping mat’ dan adakala menyeretnya di atas salji atau membawanya secara bergilir-gilir ke Kem III,” katanya.

Sebuah helikopter kemudiannya tiba untuk membawa mangsa dari Kem III setinggi 7,162 meter turun ke kem pangkalan.

Gelje berkata, beliau turut meyakinkan pendaki yang dibawanya untuk tidak meneruskan perjalanan ke puncak kerana baginya, misi menyelamatkan mangsa adalah lebih penting.

“Menyelamatkan nyawa adalah lebih penting daripada segala-galanya,” katanya.

Sementara itu, pegawai Jabatan Pelancongan, Bigyan Koirala, berkata beliau berkata operasi terbabit jarang berlaku kerana hampir mustahil untuk menyelamatkan pendaki di lokasi setinggi itu.

Pendaki Malaysia itu mendapatkan khidmat logistik daripada Tashi Lakhpa Sherpa dari syarikat Seven Summit Treks.

Tashi yang enggan mendedahkan nama pendaki itu bagaimanapun berkata, mangsa sudah dibawa pulang ke Malaysia minggu lalu.

Nepal dilaporkan mengeluarkan 478 permit untuk Everest ketika musim pendakian pada Mac hingga Mei. Sekurang-kurangnya 12 pendaki dilaporkan meninggal dunia iaitu jumlah tertinggi yang direkodkan selama lapan tahun, manakala lima lagi masih hilang di cerun Everest.

Media sebelum ini melaporkan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacub, 55, menemui ajal selepas terjatuh ketika melakukan pendakian ke puncak Everest pada 18 Mei lalu.

Awang Askandar disahkan meninggal pada jam 10.30 pagi waktu Nepal (12.45 tengah hari waktu Malaysia) ketika sedang menerima rawatan lanjut di Kem 4.

Seorang lagi pendaki Malaysia, orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashimpula dilaporkan hilang sehari selepas berjaya menawan puncak pada 18 Mei lalu.

Misi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Hawari, 33, diteruskan selama lima hari lagi selepas mendapat ihsan daripada pihak berkuasa Nepal berikutan pihak berkenaan menutup aktiviti mendaki ke puncak Everest bermula Isnin lalu.

Sementara itu, seorang lagi rakyat Malaysia, RJ Nagarajan yang berjaya menakluk puncak Everest, 22 Mei lalu diselamatkan beberapa sherpa selepas mengalami simptom buta salji ketika dalam perjalanan turun dari puncak tertinggi dunia itu menuju ke kem empat Everest.

Simptom yang terjadi kesan pantulan pancaran sinar matahari ke atas salji itu menyukarkan penglihatan dan membataskan pergerakan turun Nagarajan, 59, selepas menawan puncak Everest pada ketinggian 8,848 meter menerusi misi program ZeroTo8000.

Sumber : Harian Metro