MALAYSIA muncul pasukan ketiga terbaik dalam Kumpulan G, pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia selepas menewaskan Thailand 1-0 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) awal pagi tadi.
Kedudukan itu turut menjamin tempat Harimau Malaya dalam pusingan kelayakan terakhir Piala Asia bermula November depan, lapor Stadium Astro.
Jaringan penalti bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid, sudah cukup untuk menjadi pemisah selepas Malaysia tewas dua perlawanan terdahulu di tangan UAE dan Vietnam.
Peluang pertama skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu hadir menerusi Akhyar Rashid, yang memanfaatkan kesilapan penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom, sebelum melakukan gelecekan dalam kawasan penalti tetapi sentuhan terakhirnya dihadang untuk memberikan sepakan penjuru.
Malaysia terus mengasak dalam babak pertama dan menerusi satu gerakan set-piece, Nor Azam Azih melambungkan bola ke arah Berdan Gan tetapi bola yang ditanduk pemain tengah Selangor itu menuju tepat ke arah Chatchai.
Tujuh minit selepas babak kedua bersambung, skuad negara dihadiahkan sepakan penalti apabila Ernesto Phumipha menjatuhkan Safawi dan pemain kidal itu tidak berdepan masalah untuk menewaskan Chatchai dengan sepakan rendahnya.
Seminit selepas jaringan itu, Penjaga gol, Khairulazhan Khalid, bertindak tangkas menafikan dua percubaan berturut-turut Thitipan Puangchan untuk Malaysia mempertahankan kelebihan sehingga ke penghujung perlawanan.
Sumber: Stadium Astro