KUALA LUMPUR – Malaysia melonjak 15 anak tangga dalam Indeks Prestasi Logistik (LPI) Bank Dunia 2023 untuk berada dikedudukan ke-26, menjadi negara kedua terbaik selepas Singapura dalam kalangan negara Asean.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, ia merupakan lonjakan ketara dari kedudukan ke-41 pada 2018 dan ke-32 pada 2016, dan kedudukan terbaik yang dicapai Malaysia ialah di tangga ke-25 dalam laporan LPI Bank Dunia 2014.
Laporan LPI edisi ketujuh ‘Connecting to Compete’ dikeluarkan selepas tiga tahun gangguan rantaian bekalan semasa pandemik Covid-19 dan ia merangkumi pandangan terkini mengenai prestasi logistik perdagangan di 139 negara.
Abdul Latif berkata, laporan LPI adalah penanda aras untuk membantu negara mengenal pasti apa yang boleh dilakukan untuk penambahbaikan dalam logistik perdagangan antarabangsa bagi meningkatkan daya saing. – Bernama