SHAH ALAM – Malaysia berpotensi untuk menjadi peneraju dalam bidang keselamatan siber dan memberi impak positif semasa tempoh menjadi Pengerusi ASEAN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) menyokong usaha Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) untuk mengukuhkan keselamatan siber negara, khususnya dalam melindungi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).
Menurut Anwar, Malaysia juga akan menganjurkan Cyber Defense and Security Exhibition and Conference (CYDES) 2025 dan menyediakan strategi keselamatan siber baharu Malaysia Cyber Security Strategy (2025-2030) untuk memperkuatkan inisiatif keselamatan siber negara.
“Petang tadi, saya mendengar pembentangan mengenai situasi keselamatan siber negara yang semakin mencabar. Dalam Mesyuarat JKSN Bilangan 2 Tahun 2024, mesyuarat bersetuju agar NACSA menerajui Pusat Kriptografi Negara yang akan dimulakan di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan melibatkan penyelidik dari universiti lain juga,” katanya di Facebook pada Selasa.
Anwar sebelum ini menyatakan bahawa tahap keselamatan siber Malaysia masih lemah berbanding negara lain, dan ini mendorong kerajaan memperkenalkan undang-undang keselamatan siber untuk mengawalnya.
Beliau turut menambah bahawa negara tidak kekurangan pakar dalam bidang ini, namun penting untuk memastikan kerjasama antara sektor akademik, industri, dan keperluan memelihara ekosistem keselamatan siber negara.
Mesyuarat juga bersetuju agar Malaysia menyertai Budapest Convention dan United Nations Convention Against Cybercrime untuk menunjukkan komitmen negara dalam menangani jenayah siber di peringkat domestik dan antarabangsa.