KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mula memantau platform media sosial dan e-dagang milik pempengaruh serta usahawan digital setiap hari untuk mengesan dan memastikan golongan terbabit tidak ‘lari’ daripada membayar cukai.
Pemantauan itu dibuat menerusi Seksyen Audit Ekonomi Digital, unit khas yang ditubuhkan baru-baru ini khusus untuk memantau aktiviti pempengaruh dan usahawan digital yang didakwa hidup mewah tetapi tidak membayar cukai.
Antara golongan yang dipantau agensi pengutip cukai itu adalah aktiviti perniagaan pengasas produk kosmetik, peniaga mata wang asing, mata wang kripto, emas, pempengaruh, Tiktoker, Instafamous, YouTuber dan pekerja ekonomi gig.
Sebelum ini, ada banyak dakwaan dan laporan media pempengaruh dan usahawan dalam talian yang dikatakan suka menunjukkan kemewahan, namun bukan semua membayar cukai.
Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Ranjeet Kaur, berkata melalui aktiviti pemantauan secara harian ini, agensi itu yakin dapat mengenal pasti pempengaruh dan usahawan digital yang tidak patuh kepada undang-undang percukaian.
“Hasil daripada pemantauan kami ke atas akaun mereka, fail baharu akan didaftarkan dan pemilihan kes untuk diaudit berdasarkan risiko yang dikenal pasti LHDN,” katanya kepada BH.
Sumber : Berita Harian