Lelaki Warga Malaysia Ditahan Cuba Seludup 4.7kg Heroin Ke Singapura

SINGAPURA – Seorang lelaki warga Malaysia ditahan di Singapura bersama hampir 5 kilogram heroin.

Pihak berkuasa Singapura menggagalkan cubaan menyeludup kira-kira 4.7 kilogram heroin itu dalam sebuah kereta yang didaftarkan di Malaysia di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 5 Ogos 2003.

Menurut kenyataan bersama dikeluarkan Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) dan Biro Narkotik Pusat (CNB), seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 22 tahun yang menaiki kereta terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan dadah.

“Pegawai bertugas menjumpai beg kanvas dalam but kereta ketika melakukan pemeriksaan ke atas kereta itu.

“Bungkusan dipercayai dadah ditemui dan pegawai CNB segera dimaklumkan mengenai penemuan itu. 10 bungkusan mengandungi heroin dengan berat keseluruhan kira-kira 4,723g ditemui di dalam beg berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Nilai rampasan 4,723g heroin dianggarkan berjumlah lebih S$331,400, cukup untuk kegunaan kira-kira 2,240 penagih selama seminggu.

“Siasatan mengenai kejadian masih diteruskan,” menurut kenyataan itu.