TULAR dalam media sosial satu kejadian melibatkan seorang lelaki dipercayai meninggal dunia selepas rebah dan tidak sedarkan diri ketika sedang bersarapan dekat sebuah restoran di Bukit Sentosa, Rawang pagi tadi.
Menerusi gambar yang turut tersebar dalam aplikasi mesej Whatsapp itu, lelaki berkenaan didakwa baru sahaja mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 sebelum rebah dipercayai akibat sakit jantung.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik itu juga, ambulans dan polis tidak lama kemudian tiba di tempat kejadian.
Sementara itu, menerusi laporan Harian Metro, Isteri Allahyarham, Rabunah Abdu Rashid tampil menjelaskan keadaan suaminya yang menghidap penyakit jantung dan darah tinggi.
“Suami saya memang ada penyakit jantung dan darah tinggi. Kematian dia bukanlah disebabkan dos penggalak seperti dakwaan tular itu.
“Sebelum kejadian, suami memaklumkan dia mahu bersarapan dengan rakannya di restoran berkenaan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah kami sebelum pergi ke tempat kerja.
“Kira-kira 7.15 pagi, saya menerima panggilan daripada seseorang yang memaklumkan suami pengsan di restoran terbabit sebelum saya bergegas ke sana.
“Sebaik tiba, saya melihat suami sudah tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya kepada Harian Metro.
Dia yang juga suri rumah berkata, suaminya menghidap penyakit jantung serta darah tinggi sejak lima tahun lalu dan menjalani pemeriksaan perubatan setiap bulan di Hospital Selayang.
“Suami memang baru sahaja mengambil dos penggalak pada 12 Januari lalu, namun dia tidak mengeluh atau menunjukkan mengalami sebarang simptom serius kecuali lenguh pada bahagian tangan.
“Apabila saya dimaklumkan oleh pihak polis mengenai dakwaan itu, saya amat terkejut kerana saya tidak pernah menyatakan dalam laporan kematian suami ada kaitan dengan dos penggalak,” katanya lagi.
Dia meminta orang ramai supaya menghentikan menyebarkan berita palsu berkenaan kerana pengambilan dos penggalak bukan penyebab kematian suaminya.
“Saya minta mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu ini supaya berhenti berbuat demikian. Saya dan keluarga termasuk tiga anak berusia antara 13 hingga 20 tahun reda dengan pemergian suami,” jelasnya.
Menurutnya, jenazah Hamsan telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Beruntung kira-kira 3 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 7 pagi.
“Pemeriksaan oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Serendah mengesahkan lelaki berkenaan meninggal dunia.
“Isteri lelaki terbabit juga mengesahkan dia menghidap penyakit jantung serta darah tinggi sejak lima tahun lalu dan masih menerima rawatan di Hospital Selayang,” katanya.
Sumber: Harian Metro, Utusan