Lelaki Maut Jatuh Gaung Di Genting Highlands

Seorang lelaki maut dipercayai akibat tergelincir sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam lebih 20 meter di KM 1 jalan naik ke Genting Highlands, Bentong, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands, Mohd Saufi Zakaria berkata, lelaki berusia lingkungan 60-an itu dikatakan sedang melakukan pemantauan di lereng bukit bagi kerja-kerja pemasangan paip sebelum tergelincir.

Beliau berkata, lapan anggota dan pegawai bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan pada jam 2.53 petang.

“Bomba menjumpai lelaki itu sekitar 3.30 petang sebelum menjalankan operasi menaikkan mayat itu menggunakan tali dan alat pengusung yang mengambil masa lebih sejam,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi selesai sepenuhnya pada jam 5 petang.

Sumber : Harian Metro