Lelaki Ditahan Selepas Tumbuk Pelajar Hingga Patah Hidung

Ada Apa Dengan Melly..? PROM NITE

KAJANG – Seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun telah ditahan selepas terlibat dalam satu insiden pergaduhan dengan seorang pelajar sekolah menengah di jalan raya berhampiran Saujana Impian, Kajang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan daripada mangsa, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, pada pukul 9.24 malam. Mangsa mendakwa telah dipukul oleh suspek sekitar pukul 2.15 petang akibat perselisihan faham.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara kedua-dua individu terbabit. Mangsa mengalami kecederaan akibat retak pada tulang batang hidung selepas dipukul dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.

“Selain itu, pemeriksaan lanjut mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu dan telah dikenakan saman trafik,” katanya dalam satu kenyataan pada malam ini.

Bertindak atas maklumat yang diterima, pihak polis berjaya menahan suspek yang merupakan seorang penasihat agensi pelancongan pada pukul 9.50 malam untuk membantu siasatan lanjut.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan lalu lintas.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Chalart Cinda Eh Nem di talian 017-9825510 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Bagaimanapun, selepas itu, tular satu lagi video yang dikongsi oleh Caprice, menunjukkan individu yang sama bertelagah dengan kanak-kanak serta menampar dua orang kanak-kanak tersebut. Hasil semakan di laman Instagram mendapati suspek juga merupakan pengerusi sebuah surau.

Semoga dalam bulan yang mulia ini, kita semua dapat lebih bersabar dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini.