JANA pendapatan lumayan hasil aktiviti menjual anak memerang dan kucing hutan kepada penggemar haiwan peliharaan eksotik.
Itu kegiatan dilakukan seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang disyaki menggunakan medium media sosial untuk mencari pelanggan berminat.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kegiatan itu dibongkar hasil serbuan dilakukan sepasukan empat anggota Unit Penguatkuasaan Perhilitan Kelantan di sebuah rumah di Pasir Mas Salor, Kelantan.
Menurutnya, dalam operasi jam 11 pagi kelmarin, pemeriksaan mengejut dilakukan selepas risikan mendapati kediaman itu menjadi lokasi menyimpan hidupan liar tanpa lesen.
“Hasil pemeriksaan dilakukan di kediaman itu, anggota Perhilitan menemui enam ekor burung hantu dan tiga ekor anak burung helang di dalam sangkar.
“Turut ditemui seekor kucing batu dan dua anak memerang diletakkan di dalam sangkar,” katanya.
Beliau yang dihubungi tidak menolak kemungkinan semua haiwan liar dilindungi itu diburu dan ditangkap untuk dijual ke pasaran gelap.
“Aktiviti menjerat haiwan liar dilindungi untuk dijual sebagai haiwan peliharaan adalah kesalahan serius mengikut undang-undang. Lebih menyedihkan apabila haiwan kecil ini dipisahkan daripada ibunya semata-mata untuk dijadikan ‘barang’ jualan,” katanya.
Susulan itu suspek dibawa ke Balai Polis Kota Bharu, Kelantan untuk laporan polis sebelum semua hidupan liar itu disita serta dibawa ke Pejabat Perhilitan Daerah Jeli, Kelantan.
“Suspek akan disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan 2022).
“Kesalahan mengikut Seksyen 71 Akta A1646, iaitu mengimport, mengeksport atau mengeksport semula hidupan liar dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas, boleh dihukum denda hingga RM1 juta dan penjara maksimum 15 tahun, jika sabit kesalahan,” katanya.
Sumber : Harian Metro