SYDNEY – Seorang lelaki warga Australia didakwa semalam kerana melakukan ancaman bom palsu ketika menaiki penerbangan Malaysia Airlines sehingga mencetuskan panik dalam kalangan penumpang.
Pesawat MH122 dalam penerbangan dari Sydney ke Kuala Lumpur sebelum terpaksa berpatah balik pada tengah hari kelmarin apabila seorang lelaki mendakwa dia mempunyai ‘bahan letupan’ di dalam begnya.
Pesawat itu berlepas pada pukul 1 petang waktu tempatan, membawa 199 penumpang dan 12 kru.
Kapal terbang itu mendarat semula di Sydney kira-kira dua jam kemudian selepas penumpang lelaki itu bertindak agresif.
Menurut polis, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan tanpa pergelutan dan didakwa membuat kenyataan palsu berhubung ancaman bom yang boleh membahayakan pesawat dan penerbangan.
Video yang sempat dirakam penumpang dalam pesawat berkenaan menunjukkan lelaki itu memakai beg sandang dan mengugut penumpang serta kru.
Namun, polis tidak mendedahkan kerakyatan lelaki itu, biarpun media tempatan melaporkan dia menetap di Canberra.
Sementara itu, pihak berkuasa Australia menegaskan insiden itu tidak memberi kesan terhadap komuniti biarpun sebanyak 32 penerbangan domestik dibatalkan.
Sumber : Utusan Malaysia