Lebuhraya Karak Diselenggara Musim Raya, Pengguna Geram Terperangkap ‘Jammed’

Rata-rata pengguna Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) meluahkan rasa tidak puas hati kepada pengendali laluan tersebut, Anih Berhad ekoran kesesakan berlaku ketika ini.

Ia susulan kerja-kerja penyelenggaraan yang sedang dilakukan di lebuh raya terbabit sedangkan kebanyakan pengguna mula bergerak pulang ke kampung di Pantai Timur sejak semalam.

Tinjauan Kosmo! di laman Facebook Lebuhraya Pantai Timur (LPT) mendapati, pengguna mula ‘menyerang’ laman tersebut kerana ramai yang terperangkap dalam kesesakan di laluan tersebut sejak semalam.

Jelas pengguna, laluan tersebut mengalami kesesakan teruk bermula dari Plaza Tol Gombak menghala ke Bentong.

“Time (masa) nak raya baru nak selenggara jalan, bertabahlah perantau-perantau semua,” tulis Hakim Zakaria.

“Dekat-dekat nak balik kampung baru nak selenggara, bagus sangat,” tulis Mohamad Hasra.

Turut meluahkan rasa kecewa adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Halim Ismail, lapor Kosmo Online.

“Kenapa ‘repair’ hari ni, hari ini kan ‘last’ (hari akhir) sekolah, ramai ambil anak di asrama,” katanya.

Terdahulu, LPT memaklumkan, kesesakan itu berlaku di Kilometer (Km) 11.6 dari Km 20.2 sehingga Km 31.8.

“Pantai Timur 1 (LPT 1) trafik lancar sepanjang lebuh raya di kedua-dua hala,” kata di laman Facebook.

Sumber gambar – BebasNews | Sumber laporan – Kosmo Online