Lebih Seratus Peniaga Pening Tiada Air Di Tandas Awam

LEBIH 100 peniaga di Pasar Besar Gua Musang di Kelantan amat berharap supaya pihak berwajib dapat menyelesaikan masalah air di tandas awam yang terletak di dalam pasar berkenaan.

Memetik laporan Harian Metro, peniaga mendakwa masalah ketiadaan air di tandas berkenaan sudah berlarutan hampir setahun.

Peniaga, Roslina dollah, 42, berkata, masalah air menyebabkan peniaga sukar untuk pergi ke tandas dan terpaksa memunggah air dari luar sebelum menggunakan kemudahan itu.

Pasar Besar Gua Musang | Gambar : Foursquare

“Masalah ini sudah berlarutan sejak setahun yang lalu dan ini menyukarkan kami lebih 100 peniaga untuk menggunakan tandas.

“Malah, pada musim cuti perayaan Aidilfitri yang lalu, pasar ini menerima kunjungan perantau dan apabila ingin menggunakan tandas awam mereka kecewa kerana tiada air.

“Jadi, salah seorang peniaga di sini, mengambil inisiatif menadah air dari luar untuk peniaga menggunakan tandas dan kami berkongsi duit membayar bil setiap bulan,” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Gua Musang di sini.

Dia yang juga peniaga barangan basah di pasar berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu berharap masalah terbabit dapat diselesaikan secepat mungkin.

Peniaga kuih, Zalina Abdul Rahman, 41, berkata, ada kalanya dia terpaksa ke stesen minyak yang jaraknya lebih 200 meter untuk menggunakan tandas.

“Saya juga terpaksa menumpang kenderaan peniaga lain untuk ke tandas di stesen minyak dan keadaan ini sangat menyusahkan kami serta pengunjung.

“Kami sudah membuat aduan kepada pihak yang berkenaan, namun sehingga kini masalah ini tidak dapat diselesaikan. Kami berharap pihak berwajib cakna akan keadaan peniaga di pasar ini,” katanya.

Sumber : Harian Metro