KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan perkhidmatan Keretapi ‘Excursion’ khas sempena Tahun Baru Cina (CNY) yang akan beroperasi pada 27 dan 28 Januari ini.
Menurut kenyataan KTMB hari ini, terdapat dua perjalanan khas dengan 792 tiket yang ditawarkan untuk perjalanan pergi-balik dari Stesen KL Sentral ke Stesen Butterworth.
“Tiket akan mula dijual pada 21 Januari, pukul 10 pagi. Tambang sehala untuk perjalanan ini serendah RM60 untuk tempat duduk kelas superior dan RM90 untuk kelas premier.
“Selain itu, penumpang juga boleh menikmati pengalaman unik melalui kemudahan buffet coach dan chillax coach yang disediakan bagi memastikan perjalanan lebih selesa dan menyeronokkan,” kata kenyataan itu.
KTMB menjelaskan bahawa perkhidmatan kereta api khas ini diperkenalkan bagi memenuhi permintaan penumpang yang menuju ke utara sempena perayaan Tahun Baru Cina dan cuti sekolah yang panjang.
Perjalanan kereta api khas ini akan bermula dari Stesen KL Sentral dan berhenti di tujuh stesen iaitu Tanjung Malim, Kampar, Batu Gajah, Ipoh, Kuala Kangsar, Taiping dan Bukit Mertajam, sebelum berakhir di Stesen Butterworth.
Tiket tanpa tunai boleh dibeli melalui aplikasi mudah alih KTMB (KITS), mesin kiosk, kaunter tiket, dan laman web rasmi KTMB di www.ktmb.com.my.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Rani Hisham, dalam kenyataan yang sama berharap perkhidmatan keretapi khas ini dapat membantu mengurangkan kesesakan jalan raya dan memberikan perjalanan yang lebih selesa, terutama bagi golongan warga emas dan kanak-kanak.