Home Berita Semasa KPDN Gempur Premis Sorok Minyak Paket Bersubsidi

KPDN Gempur Premis Sorok Minyak Paket Bersubsidi

PETALING JAYA: Sebuah premis yang didakwa menyorok bekalan minyak masak paket bersubsidi diserbu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Bandar Tropicana Aman, Telok Panglima Garang, Selangor pada Isnin.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam menyatakan bahawa premis terbabit didakwa tidak mempunyai lesen runcit barang kawalan berjadual yang sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

“Hasil pemeriksaan awal mendapati, premis terbabit menjual barang-barang kawalan seperti gula, minyak masak dan gas petroleum cecair (LPG) selain barangan runcit lain.

“Hasil serbuan menemukan sejumlah 84kilogram (kg) minyak masak bersubsidi paket 1kg, tujuh botol 2kg, lapan tong LPG 14kg dan 24kg gula putih bertapis kasar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pasukan serbuan telah menyita kesemua barangan terbabit dan beberapa dokumen perniagaan yang berkaitan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM630.90.

Tambahnya, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

“Siasatan dilakukan bagi mengenal pasti pembekal barang-barang kawalan premis berkenaan serta rantaian pengedarannya,” jelasnya.

KPDN juga memberi amaran kepada mana-mana pihak yang berurus niaga dengan barang-barang kawalan berjadual agar sentiasa mematuhi perundangan yang sedang berkuat kuasa.

Ia termasuk mendapatkan lesen borong atau runcit barang kawalan berjadual yang sah di bawah Akta 122 serta tidak menyimpan atau menyorok bekalan barangan terbabit.

Terdahulu, tular satu video di media sosial berkaitan seorang peniaga yang didakwa menyorok bekalan minyak masak paket satu kilogram dan hanya dijual kepada pelanggan tertentu.

Exit mobile version