Terbeban dengan kos sewaan sekitar RM10,000 untuk 20 hari berniaga di bazar Aidilfitri menjadikan rata-rata peniaga terpaksa meletakkan harga jualan mereka lebih tinggi berbanding kebiasaan.
Memetik laporan Kosmo, Mohammad Noorizzuddin Nooh, seorang pakar ekonomi berpandangan, antara faktor penyumbang kepada kekurangan pembeli di bazar Aidilfitri adalah disebabkan harga jualan barangan seperti pakaian, biskut raya, kasut, karpet dan beberapa keperluan lain dijual dengan harga yang mahal.
“Saya berkesempatan untuk pergi ke bazar-bazar Aidilfitri di pelbagai negeri tahun ini seperti di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka serta ke Bangi, dan apa yang mengejutkan, baju kurung dengan harga di bawah RM100 tidak ada.
“Kebanyakan yang dijual pada harga atas RM200 dan ada yang saya pergi ke Masjid Tanah, Melaka harga sepasang baju kurung semahal RM350 dijual di bazar Aidilfitri,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Selain itu, ketika diminta mengulas mengenai pendapatan peniaga bazar Aidilfitri terjejas disebabkan persaingan yang diberikan oleh peniaga secara dalam talian, Mohammad Noorizzuddin berkata, dia melihat kedua-dua platform perniagaan tersebut tidak semewah tahun-tahun lalu.
“Bagi saya peniaga online (dalam talian) dan offline (bazar Aidilfitri) tahun ini sudah salah percaturan, mereka kena ingat keadaan ekonomi semasa. Pengguna sekarang dilihat lebih berhati-hati, mereka berhati-hati menggunakan duit.
“Jadi untuk berbelanja di bazar Aidilfitri pun kurang, beli di online pun kurang sepanjang Ramadan ini. Paling menarik, majoriti pembelian dilaksanakan dua minggu lebih awal sebelum Ramadan sebab pembeli sudah boleh jangka, harga jualan sepanjang Ramadan akan naik 30 hingga 70 peratus dari kebiasaan,” kongsinya.
Tambahnya, selain bazar Aidilfitri, peniaga di bazar Ramadan juga mengalami kekurangan pelanggan sehingga jualan mereka terpaksa dibuang atau disedekahkan secara percuma.
“Ketika saya ke masjid-masjid berbeza untuk solat tarawih, bayangkan setiap malam lebih-lebih lagi apabila hari hujan. Masjid-masjid ini akan buat pengumuman selepas selesai tarawih dan meminta para jemaah untuk mengambil makanan yang telah tersedia di luar.
“Menurut pihak pengurusan, makanan itu kebanyakannya disedekahkan oleh peniaga bazar Ramadan yang jualan mereka tidak habis. Ini menunjukkan sebahagian besar peniaga pada tahun ini agak terjejas dari segi pendapatan dan keuntungan jualan,” katanya.
Sumber : Kosmo | Gambar : Iproperty